STATISTIK KEHADIRAN PELANCONG KE NEGERI PERAK
Selepas kejayaan besar Kempen Tahun Melawat Perak 2024 dengan mencatatkan seramai 10.2 juta pelancong domestik (peningkatan 36.1% berbanding 2023) dan 940,938 pelancong antarabangsa, Perak terus muncul sebagai salah satu destinasi pelancongan terunggul di Malaysia. Antara pasaran utama yang menyumbang kepada angka ini termasuk Singapura, China, Thailand, Indonesia dan Australia, dengan peningkatan mendadak pelancong dari China sebanyak 362%.
Dari segi agihan daerah, Kinta mencatatkan 3.72 juta pelawat, diikuti oleh Manjung dengan 2.68 juta pelawat, serta Larut, Matang & Selama sebanyak 1.55 juta pelawat. Pencapaian ini jelas melebihi sasaran asal iaitu 8 juta pelancong domestik dan 350,000 pelancong antarabangsa, sekaligus memberi impak positif terhadap ekonomi negeri. Untuk tahun 2025, Kerajaan Negeri menumpukan usaha memperkukuh sektor pelancongan melalui pelbagai program pembangunan kapasiti, kursus latihan, serta inisiatif pemadanan perniagaan (business matching) sebagai persediaan menyambut Kempen Tahun Melawat Malaysia 2026.






